Segera atasi isu orang tengah dalam rantaian sektor perikanan – Anwar

Segera atasi isu orang tengah dalam rantaian sektor perikanan – Anwar

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan khususnya kementerian terlibat untuk mencari jalan penyelesaian segera bagi merungkai permasalahan ‘orang tengah’ dalam rantaian bekalan sektor perikanan negara.

Beliau yang juga Presiden PKR itu, berkata kewujudan orang tengah yang mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini tidak stabil dan keadaan itu amat mendukacita.

“Ia memberi kesan mendalam kepada golongan nelayan dan keluarga mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Justeru, kerajaan menerusi kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian terkait perkara ini sekali gus mencari jalan untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian,” katanya menerusi Facebook.

Anwar turut memohon kerajaan agar membenteras sindiket orang tengah ini supaya hidup nelayan tidak dibelenggu dengan permasalahan berkenaan.

“Usah biarkan sindiket orang tengah mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan di negara ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, kewujudan orang tengah mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini sentiasa tidak stabil.

Mereka bukan sahaja berkuasa membeli ikan pada skala besar, mencorak, menentu serta memanipulasi bekalan dan harga di pasaran negara tetapi juga membangunkan ekosistem perikanan kebal yang tidak mampu ditembusi pesaing baharu. – Malaysiapost

Komen