Sultan Selangor titah JAIS tidak sekat penganjuran Bon Odori

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) agar tidak menyekat program Festival Bon Odori yang akan diadakan pada 16 Julai ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata Sultan Selangor turut menitah JAIS supaya tidak menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program berkenaan.

Menurutnya, titah itu dikeluarkan beliau menghadap baginda di Istana Bukit Kayangan hari ini bagi membincangkan mengenai penganjuran program tersebut.

“Baginda tidak berkenan apa-apa keputusan atau ketetapan tentang perkara seumpama ini disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian yang mendalam.

“Sultan Sharafuddin berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat.

“Baginda juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengenepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Shahzihan memaklumkan Sultan Selangor menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama, berikutan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Selangor.

“Sehubungan dengan itu, baginda telah menitahkan pegawai JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke majlis tersebut bagi melihat sendiri apa yang berlaku di dalam program tersebut.

“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Negeri Selangor,” katanya.

Isnin lalu, media melaporkan
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihati umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.

Katanya, kajian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan lain. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights