Tiada sekatan untuk Mufti Perlis berceramah di Kelantan – JAHEIK

TIADA sekatan untuk Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin berceramah di Kelantan namun perlu memohon kebenaran berceramah daripada pihak berkuasa agama negeri terlebih dahulu.

Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK), Datuk Che Rahim Jusoh.

“Perundingan telah berjalan dan selesai dengan baik. Tiada isu lagi dan tiada masalah di kedua-dua pihak antara kerajaan (negeri) dan penganjur. Tiada sekatan.

“Nak masuk boleh tapi kena mohon, sama seperti negeri lain pun. Tak semestinya ada tauliah, tapi kalau ada (tauliah) lebih baik, kalau tiada boleh mohon kebenaran sementara tiada masalah,” katanya memetik Free Malaysia Today.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Asri bahawa beliau tidak dibenarkan berceramah di satu program di Taman Aulia, Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini kerana tidak mempunyai tauliah.

Forum bertajuk ‘Harta yang batil dan kesan kepada masyarakat’ turut menampilkan Rektor Kolej Universiti Islam Perlis, Rozaimi Ramle sebagai panel, serta tokoh PAS Kelantan, Datuk Johari Mat.

Bagaimanapun, difahamkan forum anjuran seorang ahli perniagaan, Wan Ariff Wan Hamzah dibatalkan selepas arahan JAHEIK susulan Asri dan Rozaimi tidak mempunyai tauliah daripada jabatan berkenaan.

Surat pembatalan dikatakan daripada JAHEIK itu juga tersebar di media sosial dengan memperincikan jika forum berkenaan diteruskan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 121 iaitu mengeji pihak berkuasa atau pegawai majlis dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Walaupun forum itu dibatalkan, ia ditukar kepada majlis ramah mesra. Pada awalnya, ia berjalan lancar namun di akhir majlis, dicemari dengan provokasi oleh sekumpulan anak muda yang melaungkan ‘tolak wahabi’.

“Di akhir majlis ada sekumpulan anak muda masuk, dari jauh saya dapat tengok ada anak muda sebahagiannya berseluar pendek, ada merokok, menutup muka dan datang ke sini berhimpun membantah kononnya di atas isu wahabi dan seumpamanya… kemudian mereka keluar dengan keadaan menjerit-jerit ada yang takbir,” kata Asri di Facebook.

Sebelum ini, Asri tidak dibenarkan berceramah di Selangor dan Terengganu kerana tiada tauliah daripada majlis agama negeri berkenaan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights