7 langkah jangka pendek tangani isu bekalan ayam, harga makanan 

7 langkah jangka pendek tangani isu bekalan ayam, harga makanan 

MESYUARAT Kabinet semalam  bersetuju dengan beberapa langkah proaktif jangka pendek bagi menangani isu bekalan dan harga makanan sekali gus memastikan bekalan ayam kekal terjamin.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata terdapat tujuh langkah termasuk mewujudkan kaedah pelaksanaan ‘stokpail’ ayam.

“Kaedah itu untuk menangani kekurangan bekalan ayam di pasaran menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang akan melibatkan Pertubuhan Peladang secara gabungan dan akan mula dilaksanakan dengan serta merta.

“Kedua, mempermudah proses pembayaran tuntutan subsidi harga ayam dengan membenarkan bayaran pendahuluan tuntutan khususnya penternak kecil dan sederhana di mana tuntutan amaun subsidi berjumlah RM157.53 juta dapat dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya, kementerian akan berusaha memudah cara prosedur import (IP) Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) ke atas empat komoditi.

“Ia merangkumi soya, gandum, jagung dan makanan ternakan berasaskan haiwan dan tumbuhan melalui penangguhan fi permit serta mewujudkan priority lane bagi proses kemasukan pantas sehingga bekalan ayam kembali stabil,” katanya.

Ronald berkata, pihaknya akan mempercepatkan proses keperluan lesen pengimportan di bawah DVS melalui kelulusan secara interim bermula 1 Julai ini.

Katanya, proses kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja berbanding dengan 30 hingga 90 hari yang akan memberi manfaat kepada 380 syarikat pengimport bahan makanan ternakan.

“Langkah kelima pula, melaksanakan semakan semula ke atas tarif elektrik sektor agromakanan untuk mengurangkan beban kos operasi pengeluar makanan;

“Dan keenam, memberikan pengecualian khas bagi pengambilan pekerja asing dalam industri penternakan ayam mengikut keperluan bagi membolehkan aktiviti pentemakan ayam beroperasi pada tahap optimum sekaligus menjamin kesinambungan pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, kementerian juga akan mengkaji mekanisme mengurangkan kos minyak sawit mentah (crude palm oil) kepada syarikat-syarikat pengilangan makanan ternakan (feedmill operators) yang dikenalpasti bagi mengurangkan kos makanan ternakan.

Pada masa yang sama, beliau turut memaklumkan Jawatankuasa Teknikal Menangani Isu Sekuriti Bekalan Makanan Negara akan bersidang secara mingguan.

“Ia bagi memantau status bekalan komoditi utama makanan negara serta mengenal pasti isu dan mencari jalan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang terhadap isu sekuriti makanan negara.

“Satu Kluster Dasar Sekuriti Makanan yang baharu juga telah diwujudkan iaitu Kluster Komunikasi Strategik di bawah Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC).

“Ia bagi memastikan rakyat mendapat mesej dan maklumat sekuriti makanan negara yang berterusan dan efektif selain menyampaikan inisiatif Kerajaan berhubung sekuriti makanan,” katanya. – Malaysiapost

Komen