Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Wilfred Vias
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga lbekas pemain hoki kebangsaan, Freddy Wilfred Vias yang telah meninggal dunia semalam.
Ucapan itu dikongsikan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Istana Negara.
“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian mendiang dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan mendiang kepada negara dan menyifatkan pemergian mendiang sebagai satu kehilangan besar kepada sukan hoki negara,” menurut hantaran itu hari ini.
Mendiang adalah pemain pasukan kebangsaan pada era 1950-an dan pernah dipilih menjadi kapten pasukan kebangsaan pada tahun 1954.
Wilfred Vias juga semasa hayatnya adalah salah seorang pemain utama yang membantu skuad negara (Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu) untuk membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik 1956 Melbourne, Australia.
Mendiang pernah memegang jawatan setiausaha Persatuan Hoki Johor dari tahun 1950 hingga 1953 dan setiausaha Persatuan Hoki Negeri Sembilan dari tahun 1956 hingga 1957.
Pencapaian mendiang turut diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran Majlis Olimpik Malaysia pada tahun 2004 atas sumbangannya dalam pembangunan sukan di Malaysia.
Mendiang juga pernah dipilih sebagai salah seorang daripada 80 pembawa obor untuk Larian Berganti-ganti Obor Olimpik yang diadakan sempena temasya Olimpik Beijing 2008. – Malaysiapost