DATUK Amran Mohamed Zin dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) Luar Negeri yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali berkata, Amran yang sebelum ini Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) kementerian berkenaan menggantikan Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang tamat tempoh lantikan secara kontrak pada 31 Mei lalu.
Katanya, Amran, 55, dilantik berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas dalam bidang hubungan antarabangsa serta hal ehwal luar negeri menerusi karier perkhidmatan awamnya.
“Saya percaya dengan pengalaman, pengetahuan dan kredibiliti yang dimilikinya, beliau mampu merealisasikan misi kementerian dalam penggubalan dasar luar negeri serta memajukan dan melindungi kepentingan Malaysia melalui diplomasi yang dinamik dan proaktif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhd Zuki turut merakamkan penghargaan kepada Muhammad Shahrul Ikram atas sumbangan dan khidmat bakti kepada negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Amran yang berkhidmat selama lebih 27 tahun, sebelum ini pernah bertugas sebagai Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di pejabatnya di Geneva, Switzerland.
Kemudian, beliau dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Turki dari 2014 sehingga 2016 sebelum kembali ke Wisma Putra untuk memegang jawatan Timbalan Ketua Setiausaha. – Malaysiapost