Harimau Malaya mula langkah kanan

SKUAD Harimau Malaya memulakan saingan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dengan garang apabila ‘membaham’ Turkmenistan 3-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi, sekaligus mengungguli Kumpulan E.

Kemenangan itu menyaksikan Malaysia hanya memerlukan empat lagi mata daripada misi tujuh mata yang dilancarkan pengendalinya, Kim Pan Gon dalam misi mara ke pentas Asia tahun depan.

Pasukan Bahrain ditangga kedua kumpulan selepas berjaya menewaskan Bangladesh 2-0 semalam.

Kejayaan pasukan negara itu dilihat turut disumbang oleh ‘pemain ke-12’ yang turun ke stadium memberi sokongan malam tadi.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, memaklumkan seramai 21,591 penyokong hadir menyaksikan perlawanan pertama pusingan kelayakan itu.

“Terima kasih kepada 21,591 orang penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan pertama Kumpulan E, Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023, Malaysia lawan Turkmenistan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

“Teruskan sokongan buat skuad Harimau Malaya untuk perlawanan kedua menentang Bahrain, Sabtu ini jam 9 malam,” katanya.

Dalam perlawanan malam tadi, gol-gol pasukan negara dihasilkan oleh Safawi Rasid, Faisal Halim dan Corbin-Ong yang ketiga-tiganya terhasil di separuh masa pertama.

Manakala gol Turkmenistan dijaringkan Altymyrat Annadurdyyev juga di babak pertama dan tiada tambahan gol di babak kedua hingga wisel penamat.

Sementara itu, pemain Harimau Malaya, Faisal Halim dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan selepas satu jaringannya membantu kemenangan pasukan negara. – Malaysiapost

Kredit foto: Fb FAM

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights