Kadar tambang Skypark Link kini RM3.50

KADAR tambang perkhidmatan Skypark Link dikurangkan sebanyak 64 peratus, dari RM10 harga asal kepada RM3.50 sahaja.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata diskaun konsesi sebanyak 50 peratus bagi golongan yang layak masih lagi terpakai ke atas kadar baharu tersebut.

Katanya, kadar tambang baharu yang diselaraskan dengan tambang KTM Komuter sektor Lembah Klang dilihat lebih kompetitif dan mesra rakyat bagi memperkasa mutu perkhidmatan pengangkutan rel, selain dapat mengurangkan beban kos pengangkutan.

Tambah beliau, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) selaku pengendali perkhidmatan itu juga menambah baik jadual waktu perkhidmatan dengan meningkatkan kekerapan tren dari 25 kepada 32 sehari.

“Saya difahamkan, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), purata jumlah penumpang mencapai sehingga 266 orang sehari bagi tempoh Januari – Mac 2020. 

“KTMB mensasarkan 3,000 orang penumpang sehari yang akan menggunakan perkhidmatan tren Skypark Link pada tahun 2023 yang bakal memanfaatkan golongan penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT), pekerja swasta, pelancong dan lain-lain yang berulang-alik dari KL Sentral ke Subang serta memberi manfaat kepada penduduk-penduduk di sekitarnya,” katanya dalam hantaran Facebook.

Ka Siong turut menzahirkan penghargaan kepada KTMB dan penyedia-penyedia perkhidmatan pengangkutan awam seperti Prasarana Malaysia Berhad, RapidKL, RapidBas serta MRT Corp Sdn Bhd.

Menurutnya, penghargaan tersebut diberikan atas kerjasama memainkan peranan mewujudkan jaringan sistem pengangkutan bersepadu bagi meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan awam demi memberikan kemudahan dan keselesaan buat Keluarga Malaysia.

“Untuk maklumat dan jadual waktu terkini boleh rujuk di laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200,” katanya.

Beliau turut berkesempatan menyempurnakan pelancaran perkhidmatan Skypark Link di Terminal Skypark, Subang, hari ini.

Turut hadir  Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin; Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Datuk Azlan Shah Al Bakri dan Pengurus Besar Perbadanan Aset Keretapi (RAC), Encik Adam Abu Hanipah. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights