TIDAK sampai 24 jam, akaun TikTok pelakon terkenal dunia, Johnny Depp meraih lebih 10 juta pengikut.
Depp membuka akaun rasmi di Tiktok bersama perkongsian video yang dimuat naik selepas kemenangan kes saman fitnah terhadap bekas isterinya, Amber Heard.
Terdahulu, perbicaraan kes saman fitnah tersebut bersidang selama enam minggu di Mahkamah Circuit di Fairy Country, Virginia, Amerika Syarikat di mana Depp memenangi kes saman malu itu pada 2 Jun yang lalu.
Depp, 58, memuat naik video pertama di akaun rasmi Tiktoknya malam kelmarin, meluahkan rasa kesyukuran kepada peminat dan semua yang menyokongnya sejak hari pertama perbicaraan tersebut berlangsung.
“Kepada semua penyokong saya yang sangat dihargai, setia dan tidak berbelah bahagi.
“Kita dah harungi semuanya bersama. Kita dah lakukan perkara yang betul bersama-sama, semuanya kerana anda semua kisah dan ambil berat.
“Dan sekarang, kita semua akan maju bersama-sama.
“Sekali lagi, saya tidak tahu bagaimana nak ucapkan terima kasih kepada anda semua, saya sangat berterima kasih kepada anda semua. Jadi, terima kasih. Sayang dan hormat saya, JD (Johnny Depp),” tulisnya pada kapsyen video itu.
Susulan perkongsian video itu, ramai peminat yakin bahawa akaun beserta video yang dimuat naik itu adalah milik Depp setelah rakan baiknya, Gina Deuters mengesahkannya di Instagram.
Pelakon yang terkenal dengan filem francais ‘Pirates of The Caribbean’ itu juga mengesahkan perkara berkenaan setelah memuat naik video dan kapsyen yang sama beserta nama akaun Tiktoknya itu.
Hantaran video berkenaan, meraih 7 juta tanda suka serta lebih 319,000 komen dengan rata-rata peminat mengucapkan tahniah serta mengucapkan ‘selamat kembali’ kepada Depp. – Malaysiapost
