Pembangkang cuba ‘beli masa’ lengahkan PRU15 untuk tipu rakyat lagi

Pembangkang cuba ‘beli masa’ lengahkan PRU15 untuk tipu rakyat lagi

DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi keliru dengan sikap pembangkang yang menolak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera, tetapi dalam masa sama berterusan menghentam kerajaan termasuk melabelkannya sebagai ‘cap ayam’.

Presiden Umno itu berkata, hakikatnya pembangkang menolak untuk diadakan PRU15 segera kerana mahu ‘membeli masa’ bagi mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, sebelum ini pembangkang memberi alasan Covid-19 untuk menolak agar PRU-15 diadakan segara dan kini alasan memberi alasan inflasi untuk tujuan sama,

“Alasan demi alasan pembangkang sebenarnya mendedahkan kekhuatiran sebenar mereka.

“Kekhuatiran untuk berdepan penentuan rakyat yang pernah mereka perdaya demi mendapat kuasa.

“Mahu ‘membeli masa’ untuk mendapatkan ruang mencukupi membohongi dan menipu rakyat sekali lagi,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid berkata, sedangkan yang melabelkan kerajaan campuran hari ini sebagai ‘kerajaan cap ayam’ adalah pembangkang.

“Yang kuat mengambil kesempatan menghentam dasar kerajaan sejak kebelakangan ini pembangkang. Sehinggakan keputusan melarang eksport ayam bagi mencukupi keperluan rakyat turut dikecam.

“Tetapi apabila disaran PRU15 agar rakyat diberi mandat memilih sebuah kerajaan baharu pembangkang marah.

“Mereka membentak dan tuduh yang menyarankan PRU-15 tidak peduli dengan nasib rakyat B40 pula,” katanya.

Ahmaz Zahid menegaskan bahawa jurang pendapatan golongan miskin dan kaya di negara ini dilaporkan semakin melebar pada 2019.

Justeru, katanya, PRU15 adalah langkah paling demokratik untuk rakyat mendapatkan semula sebuah kerajaan yang kukuh.

Jelas Ahmad Zahid, beliau yakin dengan sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh pasti usaha-usaha membantu rakyat akan lebih efektif.

“Lagipun memang itu yang dipersetujui iaitu kerajaan campuran hanyalah sementara sehingga PRU15.

“Cuma untuk kesinambungan pentadbiran negara apabila kerajaan 22 bulan tumbang dengan sendirinya.

“InsyaAllah dengan kembali sebuah kerajaan yang mampan apa jua cabaran dapat negara kendalikan dengan lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), mahu PRU15 diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat, bulan depan.

Ahmad Zahid mendakwa faktor ‘feel good’ yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN, perlu diambil kesempatan parti itu, sekali gus menyegerakan PRU-15. – Malaysiapost

Komen