‘Saya dah rasa dia ada perempuan lain’ – Ellie Suriaty

‘Saya dah rasa dia ada perempuan lain’ – Ellie Suriaty

“SAYA tidak terkejut dan sudah boleh agak akan hal ini. Sebab saya dah rasa dia ada hubungan dengan wanita lain,” demikian luah pelakon, Ellie Suriaty.

Ellie yang juga seorang pengarah mengakui tidak terkejut apabila bekas suaminya, Azri Iskandar bakal berkahwin dengan seorang wanita bernama Azra Diera Abdul Hamid.

Ini kerana tempoh proses edah mereka masih belum habis selepas masing-masing bersetuju untuk bercerai dan membawa haluan masing-masing pada 17 Mei lalu.

“Sebab itulah hati saya benar-benar bulat dan tekad untuk menarik diri daripada perkahwinan ini.

“Dan, waktu saya failkan cerai, saya tak perlu tanya lagi untuk dapatkan apa-apa kepastian atau kesahihan. Sebab saya kenal dia sangat sebagai suami selama 19 tahun.

“Selama tempoh itu, kita telah melalui segala susah senang bersama. Bila ada perubahan dalam rumahtangga, saya tahu hati dia ada pada orang lain dan bukannya dengan saya lagi,” katanya seperti dilaporkan portal Getaran.

Jelas Ellie lagi, dia tidak mahu ambil kisah tentang siapa pun yang bakal dikahwininya.

Katanya, adalah lebih baik dia meneruskan kehidupan demi anak-anak selain memberi tumpuan terhadap kerjayanya.

“Sebelum bercerai, saya telah ambil keputusan yang cukup lama untuk memikirkan baik dan buruknya.

“Bahkan saya sudah memohon petunjuk daripada Allah SWT. Azri tidak tahu yang saya tahu apa dia lakukan di belakang saya.

“Tapi, naluri seorang isteri itu sangat kuat. Kita sendiri dapat rasakan banyak perubahan yang sangat ketara. Lagipun kita bukan baru kahwin setahun dua.

“Saya tak nafikan ada ramai perempuan di luar sana yang jauh lebih baik daripada saya. Tapi mereka bukan Ellie Suriaty yang sangat faham siapa Azri Iskandar,” katanya.

Ellie dan Azri bercerai pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Perkahwinan yang dibina pada 2003 itu, dikurniakan sepasang cahaya mata Azrell Omar Azri Iskandar, 18 dan Nur Azreen, 13 serta dua lagi yang telah meninggal dunia sebelum sempat dilahirkan.

Semalam, Azri mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan seorang penulis skrip dan lirik. – Malaysiapost

Komen