SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan Menteri Agama, Datuk Idris Ahmad untuk hadir ke Festival Bon Odori supaya dapat memahami perbezaan di antara agama dan budaya.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga tidak mahu Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat.
Menurut kenyataan itu, baginda menyifatkan kenyataan tidak tepat itu boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.
“Baginda tidak mahu pihak-pihak tertentu khususnya ahli-ahli politik menggunakan isu-isu yang menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
“Baginda menggesa mereka agar tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.
“Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat,” menurut kenyataan itu, hari ini.
Sultan Selangor berpandangan bahawa Festival Bon Odori yang telah diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun, adalah hanya satu perayaan kebudayaan.
Baginda bertitah, bahawa di Malaysia khususnya di Selangor, Bon Odori diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dengan komuniti masyarakat Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
“Perayaan ini menjadi popular apabila banyak syarikat-syarikat dari Jepun melabur dan membuka cawangan kilang mereka di Negeri Selangor.
“Justeru, Bon Odori menjadi platform memperkenalkan budaya hiburan Jepun di samping merapatkan hubungan antara rakyat kedua-dua buah negara,” katanya.
Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin bertitah, sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun.
“Khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan.
“Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu,” katanya.
Sultan Selangor bertitah baginda sendiri pernah menghadiri sambutan perayaan itu pada 2016 diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia.
“Menerusi pemerhatian Baginda, sambutan Bon Odori tidak melibatkan upacara berbentuk keagamaan atau ritual (syirik) yang boleh memesongkan akidah mereka yang hadir menyaksikan,” katanya.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin turut menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk hadir ke festival tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar dan memastikan sambutannya tidak merosakkan akidah umat Islam.
Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Sharafuddin bertitah, apa saja bentuk budaya yang diamalkan oleh setiap masyarakat di dunia ini, sememangnya ada hubungkait dengan agama.
Namun, titah baginda, seiring peredaran zaman, amalan-amalan budaya itu tidak lagi menonjolkan ciri-ciri keagamaan.
“Sultan Sharafuddin turut berharap supaya rakyat Selangor yang berbilang bangsa ini akan terus dapat hidup bertoleransi dalam suasana yang muhibbah dan harmoni,” katanya.
Dalam hantaran itu, Selangor Royal Office turut berkongsikan foto, Sultan Selangor ketika berangkat melancarkan Festival Bon Odori pada 2016, diiringi Duta Besar Jepun ke Malaysia ketika itu, Dr Makio Miyagawa. – Malaysiapost