Zuraida diumum sebagai ‘president-designate’ PBM
PARTI Bangsa Malaysia (PBM) melantik Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai ‘president-designate’ parti itu.
Sehubungan itu, Zuraida akan mengetuai PMB untuk berbincang dengan parti lain bagi membentuk kerjasama sebagai sebuah gabungan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Presiden PBM, Larry Sng berkata, pelantikan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi berkenaan dibuat atas permintaan akar umbi dan bagi memacu pembangunan dan perkembangan parti itu pada masa depan.
“Beliau akan mengetuai pertemuan dengan ketua-ketua parti yang lain untuk mengadakan kerjasama dalam mana-mana gabungan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Larry berkata, PBM memutuskan parti itu akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan surat rasmi akan dihantar kepada parti tersebut dalam masa terdekat.
“Itu terpulang kepada proses yang kita telah mulakan. Keputusan proses itu kita kena tunggu lebih masa untuk mereka bincang dan pertimbangkan,” katanya.
Sementara itu, Larry berkata, Majlis Tertinggi PBM akan bermesyuarat untuk menyusun semula perlembagaan parti bagi membolehkan proses peralihan kepimpinan berjalan dengan lancar dan teratur.
Terdahulu, pelantikan Zuraida itu dibuat sejurus Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBM mengesahkan keahlian Zuraida dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.
Ia selepas membincangkan permohonan beliau pada 26 April lalu untuk menyertai parti berkenaan. – Malaysiapost