MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mencadangkan penganjur Festival Bon Odori memberikan nama baharu kepada acara itu bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.
Selain itu, beliau turut mencadangkan kepada penganjur untuk memastikan sambutan festival itu tidak bersifat agama, tiada unsur khurafat atau syirik tertentu selain tiada ritual yang mewakili kepercayaan tertentu.
“Jika boleh, diberikan nama baru atau nama tambahan di samping nama Bon Odori bagi mengelakkan kekeliruan dengan perayaan asal yang mempunyai unsur syirik dan khurafat.
“Ini seperti menamakan festival kebudayaan Jepun, atau masyarakat Jepun. Dengan itu, festival dapat diteruskan, dan polemik dapat dikurangkan,” katanya menerusi Facebook.
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.
Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana didakwa mengandungi unsur agama lain.
Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, penyertaan orang Islam dalam Festival Bon Odori boleh membawa kepada syirik.
Beliau berkata, umat Islam tidak patut menyertai acara itu bagi memelihara kesucian pegangan agama. – Malaysiapost