EVUSHELD lindungi dari jangkitan Covid-19 untuk 6 bulan

EVUSHELD lindungi dari jangkitan Covid-19 untuk 6 bulan

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) akan memulakan rawatan ubat antibodi monoclonal Tixagevimab plus Cilgavimab (EVUSHELD) dalam waktu yang terdekat.

Menurut KKM, ia bagi memastikan golongan berisiko tinggi terus mendapat perlindungan daripada jangkitan Covid-19.

“Kajian menunjukkan bahawa ubat antibodi EVUSHELD dapat melindungi penerima dari jangkitan Covid-19 untuk jangka masa enam bulan selepas pemberian suntikan.

“Kaedah pemberian ubat antibodi ini adalah melalui dua suntikan intramuskular yang berasingan secara berturut-turut.

“Bagi pesakit immunocompromised yang telah menerima vaksin Covid-19, EVUSHELD boleh diberikan dua minggu selepas vaksinasi,” kata KKM menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara itu menerusi poster dimuatnaik dalam hantaran sama, KKM memaklumkan ubat antibodi EVUSHELD akan diberikan di hospital kerajaan

Menurutnya, ia digunakan sebagai profilaksis pra-pendedahan (PrEP) untuk golongan yang belum dijangkiti Covid-19 tetapi berisiko tinggi untuk dijangkiti.

“Penilaian kelayakan pesakit akan dilakukan oleh pakar perubatan yang merawat,” katanya.

Kriteria pemilihan pesakit antaranya berumur 12 tahun ke atas; mempunyai berat badan melebihi 40 kg; dan tidak dapat mengambil vaksin sepenuhnya atas sebab perubatan/mempunyai sejarah tindak balas teruk terhadap vaksin Covid-19. – Malaysiapost

Komen