DATUK Fadlun Mak Ujud dilantik sebagai Presiden merangkap Pengerusi Perbadanan Putrajaya (PPj) yang baharu untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata pelantikan itu bagi menggantikan Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan bermula 15 Disember 2021.
Beliau berkata, pelantikan Fadlun yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden Kanan (Perkhidmatan Korporat), PPj, adalah selaras dengan perenggan 5(1)(a) Akta Perbadanan Putrajaya 1995 [Akta 536].
“Saya percaya dengan pengalaman serta daya kepimpinan dan kredibiliti dimiliki, beliau berupaya memperkasakan lagi tadbir urus dan menerajui PPj untuk terus cemerlang ke arah mencapai Putrajaya Bandaraya Pentadbiran Mampan Bertaraf Dunia.
“Saya bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan ini dan selamat menjalankan tugas kepada beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadlun, 55, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia, serta mempunyai 27 tahun pengalaman sebagai penjawat awam khususnya di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau telah berkhidmat di PPj selama 22 tahun dengan memulakan kerjaya di PPj sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada Mac 2000.
Sementara itu, Shahidan turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Muhammad Azmi yang berkhidmat sebagai Presiden merangkap Pengerusi PPj sejak 1 Oktober 2020 hingga 15 Disember 2021. – Malaysiapost