HARIMAU Malaya bertekad terus mempamerkan aksi cemerlang dan berazam untuk membaham Bahrain pada aksi kedua pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil, esok.
Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon, meskipun di atas kertas Bahrain berkedudukan ranking ke-89 dunia, namun dalam bolasepak tiada yang mustahil untuk Malaysia melakarkan kemenangan kedua esok.
Pengendali dari Korea Selatan itu turut gembira tiada pemain dilanda kecederaan selain menyatakan anak buahnya bermotivasi tinggi menjelang perlawanan getir menentang salah satu gergasi Asia Barat itu.
“Saya percaya perlawanan ini akan menjadi perlawanan sukar buat kita kerana Bahrain merupakan sebuah pasukan yang bagus.
“Dalam masa sama, kita juga turut menghormati mereka yang berada pada kedudukan ranking lebih baik berbanding kita.
“Bagaimanapun, kita tetap berazam untuk beraksi sebaik mungkin berdepan mereka kali ini,” katanya dalam sidang media pra perlawanan, hari ini.
Skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi memukau ketika mendominasi perlawanan sekali gus menewaskan Turkmenistan 3-1 pada aksi sulung kumpulan E, Rabu lalu
Justeru, Pan Gon berharap momentum kemenangan itu dapat menyemarakkan semangat juang pemain negara yang bakal ditemani sorakan lebih 80,000 penyokong.
Menurut Pan Gon, berdasarkan kepada persiapan, skuad kendaliannya itu diharap mampu meraih sebarang mata bagi mengukuhkan kedudukan pada saingan kelayakan kali ini. -Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook FAM