Individu dakwa Pawang Diraja minta upah RM200 buang saka

SEORANG pelajar mendedahkan modus operandi ‘Neo Pawang Diraja’ yang menawarkan khidmat menyembuhkan pelbagai penyakit misteri dengan upah RM200.

Pelajar doktor falsafah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dikenali sebagai Norsanizam Nordin Al-Dimasyqi mengakui pernah menemui sendiri dan menjalankan kajian ke atas lelaki berkenaan yang popular di laman Tik Tok itu.

“Dia minta RM200 untuk saka mendakwa mampu merawat segala jenis penyakit yang berpunca dari sihir dan gangguan ghaib, namun hasil tinjauan saya tiada yang sembuh menggunakan khidmatnya.

“Taktiknya adalah setiap orang yang berkomunikasi di laman TikToknya dikatakan ada pendamping Jin dan Iblis atau terkena sihir sehingga sakit.

“Dia akan dilukiskan gambaran makhluk yang mendampingi mereka sehingga mendapat hampir 200,000 pengikut.

“Ini bermaksud setiap orang yang berjumpa beliau pasti ada pedamping dikalangan jin dan iblis, sekiranya hendak merawat perlu menyediakan bahan-bahan tertentu untuk menyembuh,” katanya kepada Media Variasi, hari ini.

Dalam pada itu, Norsanizam memaklumkan hasratnya menemui Neo Pawang bukan untuk membuat siasatan tetapi sebagai kajian PHD dan analisa terhadap amalan dan penggunaan ubat yang digunakan oleh pawang tersebut bagi merawat setiap penyakit.

“Saya dapati rawatan yang digunakan adalah amalan tradisi melayu lama, dimana menggunakan limau, bunga, garam, minyak wangi dan lain-lain untuk tujuan mandi.

“Dalam sejarah Melayu, amalan tersebut merupakan cara untuk menyegarkan badan, mengharumkan badan , menghilangkan daki kotoran dan menaikan seri wajah.

“Mandian Sunnah yang didakwanya adalah bercanggah sama sekali dengan syarak, dimana pengertian mandian Sunnah seperti mandian sebelum solat Jumaat, mandi sebelum Ihram dan lain-lain lagi sila rujuk Fiqh Manhaji dan Riwayat Muslim.

“Selain itu, dakwaan beliau mampu melihat sosok-sosok yang menganggu setiap pesakit sangatlah dicurigai kerana Al Imam Asy Syafie r.a mengatakan sebagaimana yang didengar oleh Ar Rabi’ yang diriwayatkan oleh Al Baihaqi r.a di dalam Kitab Manaqib Asy Syafie,“ Barangsiapa yang mengaku dia melihat jin maka kita wajib menolak pengakuannya kecuali ia seorang Nabi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, menurut Sheikh Dr Aboul Nour Khurshid dari Damsyik Syria, seseorang itu dapat melihat jin dalam bentuk yang lain bukan dalam bentuknya yang asli.

“Saya juga terkejut apabila pawang tersebut telah melukis gambar-gambar yang telah membuat sihir kepada sahabat saya Dato’ Ustaz Kazim Elias, perbuatan ini boleh menimbulkan fitnah dan mewujudkan konflik dalam masyarakat.

“Apa yang saya lihat beliau ada membaca ayat-ayat suci Al-quran sewaktu menjalankan kaedah perubatan dalam masa yang sama beliau juga menghiburkan penonton dengan menari-nari dengan lagu-lagu hiburan.

“Sebagai pengamal perawat Islam yang menggunakan ayat-ayat Quran tidak seharusnya berbuat demikian kerana bertentangan dengan akhlak Rasulullah SAW.

“Saya terpanggil untuk menasihati beliau secara peribadi di laman Tik Tok tersebut tetapi apabila diajukan soalan dia akan menyekat (Block) sedangkan soalan-soalan yang hendak saya ajukan adalah untuk mengenal pasti dan untuk membantunya mendapatkan kaedah perubatan yang berlandaskan syarak.

“Saya di sini menasihatinya sebagai pengamal perubatan komplimentari adalah lebih baik mendapatkan kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu dan mendaftar dengan mana-mana persatuan perubatan Islam yang berdaftar bagi memastikan setiap amalan dan kaedah rawatan yang dilakukan olehnya adalah patuh Syariah,” katanya.

Selain itu juga, Norsanizam berkata, setiap bacaan Quran yang digunakan dalam kaedah perubatan wajiblah dibaca dengan betul dan makhraj huruf seharusnya tepat untuk mengelakkan makna Al-Quran itu terpesong.

“Saya memuji sikapnya yang cuba membantu masyarakat yang mengalami pelbagai masalah mistik, cuma dia kena matang menggunakan media sosial dengan tidak menggunakan kata-kata kesat seperti “bodoh” sehingga menjatuhkan imej agama.

“Saya menasihati bukanlah untuk melemahkan semangat dan menyekat pendapatannya daripada aktiviti perubatan tersebut tetapi tujuan saya adalah untuk memastikan dia melaksanakan amalan perubatan yang bebas daripada di syaki dikenakan pertuduhan Penyebaran Doktrin Palsu atau mempersendakan ayat al-Quran,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights