Keluar kenyataan mahu TMJ kekal, peminat gesa KPG fokus aksi penting esok

SUSULAN keputusan Tunku Mahkota Johor (TMJ) mahu berundur daripada mengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon hari ini tampil melahirkan rasa terkejut.

Menerusi kenyataan dimuatnaik di laman sosial Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Pan Gon menggesa Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mempertimbangkan semula keputusannya.

Bagaimanapun kenyataan pengendali dari Korea Selatan itu kurang disenangi rata-rata peminat bola sepak negara yang menyifatkan ia tidak perlu tatkala skuad Harimau Malaya bakal berdepan aksi penting menentang Bahrain malam esok.

Berdasarkan tinjauan di ruangan komen di Facebook rasmi FAM, rata-rata peminat mahu Pan Gon fokus terhadap tugasnya mempersiapkan pasukan dan bukannya mencampuri urusan lain.

“Coach fokus. Ada lagi 6 point nak cari ni,” tulis pemilik akaun Pencetus Ummah PUnal.

“KPG fokus sahaja perlawanan seterusnya. Seharusnya tiada lagi gangguan buat beliau dan pasukan di saat kita baru menang ke atas Turkmenistan. Nak buat drama apa sekalipun, tolong jangan ganggu persiapan pasukan negara,” tulis Damha’EL Ringmer.

Bagaimanapun ada juga peminat menyokong kenyataan Pan Gon dengan menyifatkan TMJ sebagai aset penting untuk bola sepak negara terus maju ke hadapan.

“Benar bagai apa yang dikata. Satu kehilangan dan kerugian buat bola sepak negara. Bola sepak negara baru nak hidup, jangan matikan semula,” tulis Tarmizi Solusi.

Terdahulu semalam Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tiger membuat pengumuman mengundur diri daripada kelab JDT.

“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.

“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” kata Tunku Ismail.

Namun Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards, berkata TMJ hanya melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan JDT.

Menurutnya, sebagai pemilik kelab, Tunku Ismail terus memantau perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.

Selepas menewaskan Turkmenistan 3-1, skuad Harimau Malaya bakal berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional, malam esok. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights