Kontraktor dakwa TM menindas

Kontraktor dakwa TM menindas

PERSATUAN Kontraktor Telekomunikasi Malaysian (PKTM) mendakwa Telekom Malaysia Bhd (TM) melakukan penindasan dari segi perniagaan dimana TM telah tidak mengambil berat tentang ketidakpuasan hati pihak kontraktor.

Presiden PKTM Datuk Zakaria Husain, berkata ketidakpuasan hati yang dibangkitkan terutama sekali mengenai tawaran harga yang tidak mengikut perkiraan munasabah sesuai dengan keperluan perlaksanaan dan pengurusan projek-projek yang diagihkan.

Menurutnya, cadangan dan rasa ketidakpuasan hati pihak kontraktor yang diluahkan melalui PKTM telah dipandang sepi malah lansung tidak diendahkan oleh pengurusan TM.

“Pihak kontraktor merasakan mereka seolah-olah ditindas ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan berbaur ugutan oleh pihak TM.

“Kekecewaan persatuan terhadap TM memuncak apabila baru-baru ini cadangan projek “Turnkey” dimana hampir 100 peratus beban untuk melaksanakan projek dipertanggungjawabkan kepada kontraktor, tetapi TM masih mengekalkan tawaran harga tidak munasabah dan berisiko tinggi.

“TM dilihat seolah-olah cuba menganiaya kontraktor dengan memindahkan semua masalah perlaksanaan projek kepada kontraktor tetapi mengekalkan harga yang tidak munasabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tindakan TM untuk meneruskan program berkenaan dikhuatiri akan menjejas usaha membangunkan usahawan bumiputera di TM dan tidak keterlaluan jika dikatakan ia boleh memufliskan usahawan yang terbabit.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Abdul Halim Husin, berkata pihaknya difahamkan sejak enam tahun kebelakangan ini, kontraktor telekomunikasi bumiputera merasa ditindas oleh TM terutama mengenai tawaran harga bidaan yang tidak mengikut perkiraan yang munasabah.

“MTEM menyarankan kerajaan agar mendengar dan mengambil tindakan sewajarnya, serta mengingatkan akan tanggungjawab sosial TM serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain agar komited menyokong pembangunan ekonomi bumiputera.

“GLC tidak seharusnya memberi tumpuan untuk menjana keuntungan semata-mata, tetapi mereka juga perlu menjadikan kejayaan pembangunan usahawan di organisasi mereka sebagai sebahagian daripada KPI mereka selari aspirasi kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

1 Comment

Komen