PELANTIKAN Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) membuktikan parti itu serius dalam agenda memperkasa wanita.
Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi, berkata dengan ketokohan, pengalaman luas dan pencapaian cemerlang Ahli Parlimen Ampang itu, memang selayaknya diangkat menerajui sebuah parti politik.
“Perjuangan Zuraida dalam memperkasakan wanita bukan baru dan agenda itu kekal konsisten diperjuangkan beliau sejak bermula sebagai aktivis sehingga menerajui dua kementerian, semata-mata demi memastikan martabat wanita.
“PBM adalah parti yang mendokong kepimpinan wanita untuk terus menyumbang serta mempamerkan kemampuan menggalas tanggungjawab besar dalam membawa perubahan kepada landskap politik, sosial, ekonomi dan intelektual.
“Zuraida telah mempamerkan perlaksanaan kerja berprestasi tinggi yang menjadi contoh bukan sahaja kepada wanita, malah semua.
“Perkara ini turut diakui oleh pelbagai pihak termasuk rakan sejawat di Kabinet, juga mereka yang terlibat secara langsung dalam industri perladangan dan komoditi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika negara sedang dalam peringkat pemulihan, seharusnya kaum wanita yang mampu ke hadapan diangkat untuk bersama-sama memulihkan ekonomi, sosial dan kestabilan politik negara.
“Suasana politik yang ditandai dengan diskriminasi kaum telah lapuk, di bawah kepimpinan Zuraida, PBM mahu dilihat terus mendokong agenda perpaduan kaum yang lebih realistik.
“Keakraban segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum merupakan tanda aras Malaysia akan terus harmoni dan progresif kerana kita semua adalah ‘Bangsa Malaysia’.
“Keterbukaan dalam kepelbagaian ideologi politik sewajarnya mampu menghargai kebolehupayaan sesuatu pihak untuk menyumbang kepada kemajuan Malaysia,” katanya.
Semalam, Presiden PBM, Larry Sng mengumumkan Zuraida dipilih sebulat suara sebagai ‘designated’ Presiden PBM dan sekaligus mengesahkan keahlian Zuraida dalam parti berkenaan. – Malaysiapost