MAIM bersama 140 NGO hantar memorandum bantahan kepada Kedutaan India

MAJLIS Amal Islami Malaysia (MAIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM, bertindak menghantar memorandum bantahan kepada pihak Kedutaan India di ibu negara, hari ini berhubung isu penghinaan Islam dan Nabi Muhammad SAW baru-baru ini.

Memorandum bantahan itu dihantar MAIM bersama 140 badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang hadir secara aman kira kira jam 10.30 pagi tadi.

Bagaimanapun pihak Kedutaan India enggan menerima memorandum terbabit dan menghormati pihak berkuasa keselamatan yang hadir, wakil-wakil MAIM kemudiannya meletakkan memorandum tersebut di laluan masuk kedutaan terbabit.

Bercakap kepada media, Pengerusi MAIM Muhammad Najhan Shahir Halim, berkata penghinaan terhadap Islam itu mampu menggugat keharmonian sejagat dan ketidakstabilan masyarakat.

“Antara kandungan memorandum ialah kami mendesak agar kerajaan India khasnya Parti Bharatiya Janata (BJP) mengenakan tindakan tegas terhadap pemimpinnya yang mengeluarkan kenyataan berkenaan sama ada melucutkan jawatan dalam parti mahupun kerajaan sekiranya ada.

“Kami turut mendesak agar pihak kerajaan India khasnya BJP memohon maaf kepada seluruh umat Islam di serata dunia khasnya di India atas penghinaan ini dan berjanji tidak akan mengulangi pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, MAIM juga menyokong usaha dan tindakan tegas kerajaan Malaysia yang memanggil Kedutaan India serta menyatakan bantahan rasmi terhadap kerajaan India. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights