Muhyiddin terima pendirian Pas tolak khemah besar – Abdul Hadi

PRESIDEN Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima penolakan parti itu berkaitan gagasan khemah besar.

Beliau berkata, Pas telah mengadakan perbincangan dengan Muhyiddin dan memaklumkan pendiriannya mengenai perkara berkenaan.

“Pas tolak (gagasan) khemah besar dan Muhyiddin terima pandangan kita (PAS) itu,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguan di Rusila, Kuala Terengganu hari ini.

Abdul Hadi berkata demikian sebagai maklum balas laporan Muhyiddin mendapat kepercayaan penuh daripada Bersatu untuk merundingkan jajaran politik baru dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dalam pada itu, Abdul Hadi yakin PN akan mencapai kemenangan pada PRU-15 kerana Pas mendapati sokongan terhadap parti itu masih terus diterima dan meningkat.

Abdul Hadi memperkuatkan kenyataannya itu berdasarkan keputusan pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan di Sabah, Melaka dan Johor dengan berkata, ada di sesetengah kawasan Pas mendapat peningkatan undi sehingga 200 peratus.

“Pas melakukan post mortem, dalam PRN Sabah, Melaka dan Johor.

“Semua pilihan raya ini kita (Pas) mendapati pengundi PH (Pakatan Harapan) dalam PRU lalu tak mengundi Pas lagi. Sama ada mereka mengundi kita (PN) atau mereka tak mengundi.

“Mereka (juta) tak mengundi BN (Barisan Nasional). Jumlah (mereka) sangat besar,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights