Pejuang Muda kecam desakan tubuh tribunal khas siasat Hakim Nazlan

Pejuang Muda kecam desakan tubuh tribunal khas siasat Hakim Nazlan

PEJUANG Muda Malaysia mengecam gesaan penubuhan sebuah tribunal khas bagi menyiasat salah laku dan pelanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin, berkata permintaan itu sangat canggung dan mengelirukan selain disifatkan sebagai serangan terbuka secara berterusan dalam melibatkan peringkat akhir rayuan kes SRC International di Mahkamah Persekutuan.

“Umum mengetahui bahawa serangan ini ditujukan kepada hakim tersebut secara spesifik kerana beliau yang menghakimi kes SRC International di peringkat Mahkamah Tinggi dan mendapati bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai bersalah atas semua tuduhan.

“Adalah perlu dibezakan dengan cermat akan tuduhan atau laporan jenayah yang melibatkan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelanggaran Kod Etika Hakim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilaporkan meminta kerajaan mewujudkan satu tribunal khas berdasarkan peruntukan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi menyiasat sebarang salah laku dan perlanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Mahkamah Rayuan itu.

Asyraf Wajdi berkata, selain itu tribunal khas tersebut juga bertujuan menyiasat keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh Mohd Nazlan terutama berkaitan kes-kes berprofil tinggi.

Dalam pada itu, Abu Hafiz berkata, Asyraf Wajdi memetik Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi mewajarkan penubuhan tribunal khas tersebut, namun beliau gagal memahami Perkara 125 itu dengan baik.

“… termasuk mungkin terlepas pandang dalam membaca bersama Kod Etika Hakim 2009,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan rekod, SPRM pada 21 Mei lalu memaklumkan secara terbuka bahawa siasatan dilakukan ke atas Mohd Nazlan berhubung tuduhan pemilikan wang RM 1 juta dari hasil yang meragukan, telah siap dan diserahkan ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan dan tindakan lanjut.

“Adalah tidak cermat dan melulu bagi seorang ahli politik senior dari blok kerajaan untuk mencadangkan sebuah tribunal khas berbanding menunggu keputusan dan tindakan dari Pejabat Peguam Negara setelah siasatan sempurna dijalankan.

“Segala serangan bertalu-talu terhadap urusan kehakiman dalam kes ini secara khusus adalah amat mudah untuk dijangka atas sebab apa. Datuk Seri Najib Razak telah diberikan ruang pembelaan seluas-luas dan kebebasan yang mencukupi untuk membela diri beliau,” ujarnya.

Abu Hafiz menambah, Malaysia dan seluruh rakyat berhak melihat proses perundangan berjalan dengan adil dan saksama tanpa manipulasi undang-undang dan kedudukan politik. – Malaysiapost

Komen