Penumpang feri ke Langkawi dijangka meningkat tahun depan

JETI Kuala Kedah dan Jeti Kuala Perlis masing-masing mengendalikan 100,000 penumpang feri sebulan, serta dijangka jumlah itu meningkat dalam suku ketiga dan keempat tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata jumlah penumpang feri yang akan berkunjung ke Langkawi pada 2023 juga diramalkan meningkat.

Menurutnya, disebabkan itu kerja-kerja pengerukan sedang giat dijalankan di alur pelayaran dan lembangan (basin) Jeti Penumpang Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

“Kerja-kerja pengerukan ini amat diperlukan bagi membolehkan perkhidmatan feri di antara Langkawi, Kuala Kedah dan Kuala Perlis dapat beroperasi seperti biasa dan selamat bagi memenuhi keperluan penduduk tempatan serta pelancong-pelancong yang mengunjungi Pulau Langkawi,” katanya dalam hantaran Facebook.

Beliau turut mengadakan lawatan kerja ke Terminal Feri Langkawi untuk meninjau dan mendengar taklimat berkaitan kerja-kerja pengerukan di dua terminal tersebut, bagi memastikan kerja-kerja pengerukan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Ka Siong berkata, kerja-kerja pengerukan yang sedang dijalankan adalah amat penting bagi memastikan tiada feri yang tergendala atau terkandas di sepanjang alur pelayaran.

Katanya, kontraktor pengerukan bagi Jeti Kuala Kedah, MAEDCO Sdn Bhd telah melaporkan kemajuan kerja sebanyak 53 peratus dan projek pengerukan perlu disiapkan pada September 2022.

Manakala, ujarnya, kontraktor pengerukan bagi Jeti Kuala Perlis iaitu, See Song & Sons Sdn Bhd melaporkan status kemajuan kerja 16 peratus dan tarikh dijangka siap adalah pada Februari 2023.

“Saya juga mengambil kesempatan ini untuk berdialog dengan Pegawai Daerah Langkawi serta Ketua-ketua Jabatan kerajaan, para pemimpin politik tempatan, pengusaha-pengusaha feri dan pemain-pemain industri pelancongan untuk mencari kaedah penyelesaian terbaik di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan demi kepentingan Pulau Langkawi secara keseluruhannya.

“Rata-rata mereka menyambut baik pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semalam tentang penganjuran LIMA23 pada 23-27 Mei 2023,” katanya.

Katanya, penganjuran LIMA23 pastinya memberi impak besar kepada sektor pelancongan di Langkawi. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights