‘Pihak gesa PRU15 segera yang gila kuasa’ – Hadi

‘Pihak gesa PRU15 segera yang gila kuasa’ – Hadi

PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pihak yang bertegas mahu menyegerakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah kumpulan sebenar yang kemaruk kuasa.

Abdul Hadi berkata, PAS menolak gesaan agar PRU-15 diadakan segera bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya mahu kerajaan memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi rakyat.

“Golongan yang sering mendesak Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub bubarkan Parlimen adalah tamak dan gila kuasa kerana mengutamakan kepentingan diri tanpa memikirkan masalah sedang dihadapi rakyat.

“PAS terbabit pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan terpaksa dan bukan kerana menyokong helah parti-parti tertentu untuk berkuasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, PAS sudah biasa kehilangan kuasa dan gagal memenangi kerusi pada beberapa siri pilihan raya lalu.

Katanya, PAS juga bersedia menerima hakikat jika tewas pada PRU15.

“Saya sudah kerap kali mengeluarkan kenyataan, PAS mengutamakan kepentingan rakyat yang sedang berdepan pelbagai masalah termasuk kenaikan harga barangan, selain pandemik Covid-19, yang belum diisytiharkan bebas sepenuhnya.

“Orang duduk di atas yang biasanya takut jatuh, tetapi kita (PAS) pernah kalah, selalu kalah dan menang sekali,” katanya. – Malaysiapost

Komen