TIADA jemaah haji dari Malaysia dilaporkan dijangkiti Covid-19 ketika menunaikan haji di Tanah Suci Mekah bermula awal bulan ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk, berkata berdasarkan maklumat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), jemaah haji negara ketika ini juga tidak menghadapi sebarang masalah di Mekah.
“Alhamdulillah, tiada laporan jemaah negara yang menunaikan ibadah itu dijangkiti Covid-19 setakat ini dan semuanya sihat.
“Kita juga berharap semua jemaah yang berada di Tanah Suci termasuk mereka yang bakal berlepas selepas ini dipermudahkan segala urusan,” katanya memetik Kosmo Online.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Program Lambaian Kaabah-Tetamu Dhuyufurrahman Parlimen Pengkalan Chepa di Kompleks Purnama di Kota Bharu hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berharap semua jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.
Sebelum ini, 298 jemaah menjadi kumpulan haji pertama Malaysia bagi musim 1443H/2022 berlepas ke Tanah Suci pada 4 Jun lalu. – Malaysiapost