BIARPUN mengumumkan mengundur diri daripada pengurusan kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih kekal sebagai pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan memegang saham majoriti.
Pengarah Teknikal Kelab Bolasepak JDT, Alistair Edwards, berkata Tunku Mahkota Johor (TMJ) hanya melepaskan tugas berkaitan hal-hal bola sepak dan teknikal kepada pengurusan JDT.
Menurutnya, sebagai pemilik kelab, Tunku Ismail terus memantau perkara-perkara berkaitan infrastruktur, komersial dan kewangan kelab.
“Ini bermakna Tunku Ismail tidak lagi terlibat secara menyeluruh dalam aspek seperti perpindahan pemain, perbincangan pasukan, perkara harian berkaitan pasukan, aktiviti-aktiviti pasukan, perbincangan kontrak dan sebagainya, yang mana menjadi sebahagian daripada tugas Tunku Ismail di kelab sebelum ini.
“Perkembangan terbaharu ini juga bermakna baginda tidak akan lagi kerap berada di Pusat Latihan JDT atau Stadium Sultan Ibrahim untuk perlawanan dan sesi latihan.
“Sesuatu yang baginda sentiasa mengambil sedikit masa daripada jadualnya untuk berkunjung,” katanya dalam hantaran Facebook Johor Southern Tigers.
Edwards berkata, Tunku Ismail terlibat secara aktif dalam urusan harian pengurusan JDT sepenuhnya sejak penubuhan kelab pada 2013.
Jelas beliau, ia termasuk dalam memberikan sentuhan peribadi kepada para pemain, jurulatih dan pegawai kelab.
“Kami memahami bahawa baginda perlu fokus kepada komitmen lain seperti hal-hal berkaitan negeri, dan pengurusan JDT terharu kerana diberi kepercayaan untuk memikul tanggungjawab kelab ini,” ujarnya.
Semalam, Tunku Ismail menerusi hantaran di Facebook Johor Southern Tiger membuat pengumuman mengundur diri daripada kelab JDT.
“Disebabkan tanggungjawab dan komitmen saya yang lain, saya telah mengambil keputusan untuk berundur dan menyerahkan urusan harian Kelab Bolasepak JDT kepada pengurusan tertinggi kelab.
“Saya doakan yang terbaik untuk kelab dan semua,” kata Tunku Ismail. – Malaysiapost