Umat Islam perlu bangkit lawan penghinaan terhadap agama, nabi 

UMAT Islam perlu bersatu hati menunjukkan kekuatan mempertahan nama baik agama dan kemuliaan Nabi Muhammad SAW, sekali gus bangkit menentang penghinaan dua ahli politik India, baru-baru ini.  

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata solidariti seluruh umat Islam yang bangkit mempertahankan kesucian Islam penting kerana dapat menggerunkan pihak luar daripada menghina agama Islam pada masa depan. 

“Nabi sendiri tidak mengajar orang Islam menghina agama lain, jadi jika ada individu yang melampau cuba menghina Baginda, maka perbuatan itu boleh dianggap ekstrem dan melampau serta tidak boleh diterima. 

“Kita menggesa semua umat Islam bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh negara bangkit membantah dan membela penghinaan terhadap nabi kita,” katanya dipetik Berita Harian selepas Program Lambaian Kaabah di Pengkalan Chepa hari ini. 

Ahmad Marzuk turut menolak dakwaan segelintir pihak yang menyatakan pihaknya tidak bertindak tegas dalam mengenai isi penghinaan Nabi Muhamaad SAW. 

“Pihak kami terlebih dulu mengeluarkan kenyataan menentang tindakan penghinaan terhadap nabi yang nyata menjadi isu sensitif buat umat Islam seluruh negara. 

“Selain itu, hari ini terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) pergi ke Kedutaan India bagi membuat bantahan. 

“Saya di Jabatan Perdana Menteri menyokong bantahan berkenaan, malah sekiranya diadakan di sekitar Kuala Lumpur, saya akan turut serta untuk beri sokongan sama,” katanya. 

Terdahulu media melaporkan, Malaysia bersama Indonesia, Qatar, Kuwait, Iran, Arab Saudi dan negara Islam lain mengutuk kenyataan ahli politik daripada parti pemerintah India yang didakwa menghina Islam. 

Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP), kemudian menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya dalam media sosial. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights