Bon Odori: ‘Dah bertahun-tahun, kenapa sekarang baru nak boikot’

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman mengecam tindakan pihak yang memboikot Festival Bon Odori, sedangkan perayaan itu akan disambut kali ke-46 di negara ini pada Julai depan

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut mengeluarkan titah bahawa Festival Bon Odori adalah satu perayaan meraikan perbezaan budaya.

“Saya amat menghormati pendirian Sultan Selangor bahawa banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi tidak semestinya agama ada di dalam budaya.

“Apa yang membezakan seorang itu muslim daripada yang bukan, adalah kepercayaan kepada Allah SWT. Tetapi kalau pergi hanya kerana meraikan kebudayaan dan tidak mengamalkannya, itu tidaklah sampai ketahap kepercayaan,” katanya dalam hantaran Facebook.

Syed Saddiq berkata, Malaysia adalah negara berbilang kaum merangkumi setiap budaya dan kepelbagaian, disebabkan itu Festival Bon Odori disambut untuk mengukuh semangat muhibah antara rakyat dan masyarakat Jepun di negara ini.

Menurutnya, semua pihak perlu segera berhenti menggunakan isu agama untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti.

“Bila kerajaan Kelantan pada tahun 2018 dan 2019 anjurkan Pesta Budaya Kelate – Jepun dan Perasmian Taman Jepun yang ada perayaan Bon Odori, tak ada pula nak boikot masa itu.

“Jangan simpulkan dengan tergesa-gesa. Buatlah kajian dan penelitian dengan betul seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor,” katanya.

Dalam masa sama, Syed Saddiq meminta keputusan berkaitan perkara itu tidak dibuat tergesa-gesa kerana akan memburukkan hubungan Malaysia dengan Jepun, dan menyebabkan banyak salah faham.

“Saya setuju dengan titah Sultan Selangor untuk hadir dan lihat sendiri perayaan Bon Odori itu bagaimana.

“Kekuatan negara terletak pada kepelbagaian kita. Kita tidak boleh membiarkan perbezaan dalam budaya kita memecahkan perpaduan kita,” ujarnya.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyatakan pihaknya tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadiri program Bon Odori yang dijadual pada 16 Julai depan di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penetapan itu dibuat susulan titah Sultan Selangor yang tidak berkenan apa-apa keputusan mengenai perkara itu disimpulkan dengan tergesa-gesa tanpa kajian dan penelitian mendalam.

Media sebelum ini melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai program tersebut kerana didakwa mengandungi unsur agama lain. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights