‘Bukan hanya PBM, tapi parti lain, sebesar dan sekecil mana pun’ 

BARISAN Nasional (BN) sedia menerima mana-mana parti politik yang ingin bersama gabungan itu, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Kenyataan tersebut mengulas desas-desus menyatakan Parti Bangsa Malaysia (PBM) akan menyertai BN. 

“Di dalam Perlembagaan BN terdapat tiga kategori, satu adalah parti teras, kedua parti gabungan atau Friends of BN, dan ketiga adalah direct membership. 

“Maka ketiga-tiga ini memperlihatkan keterbukaan BN untuk menerima mereka yang yakin dengan prinsip BN bersama dengan BN. 

“Setelah melontarkan perkara ini dalam Konvensyen BN pada 1 Jun lalu, ini memberi gambaran bahawa kesediaan kita untuk menerima bukan hanya PBM, tapi parti-parti lain, sebesar dan sekecil mana pun, sebagai salah satu daripada tiga prinsip kategori itu,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Aspirasi Umno (WAU) 2.0 bertajuk Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda di Auditorium Umno hari ini. 

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata beliau dan kepimpinan BN belum membuat sebarang keputusan berhubung permohonan PBM itu. 

“Kita belum membuat keputusan tetapi tentunya perkara ini telah sampai kepada saya dan saya tidak akan membuat keputusan seorang diri. 

“Saya akan berbincang dengan rakan kepimpinan BN untuk mencanaikan tentang jika secara rasmi mana-mana pihak memohon untuk menyertai BN,” uajrnya. 

Sebelum ini, Presiden PBM, Larry Sng dilaporkan berkata, permohonan parti itu untuk menyertai BN masih dalam proses. 

Menurut Larry, bagaimanapun PBM memberi mandat kepada Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin untuk mengetuai delegasi parti itu dalam pertemuan serta rundingan dengan pemimpin parti lain untuk membentuk kerjasama politik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights