PENGERUSI DAP Perak, Nga Kor Ming mendakwa PAS secara terbuka derhaka terhadap titah diraja Sultan Selangor berhubung isu Festival Bon Odori.
Ia selepas Dewan Ulamak Pas Pusat menegaskan agar umat Islam tidak menyertai festival itu kerana unsur-unsur keagamaan yang terdapat di dalamnya.
“PAS kini secara terbuka derhaka terhadap titah diraja Sultan Selangor,” ciap Kor Ming menerusi Twitter.
Semalam Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahya berkata meskipun terdapat pandangan menjelaskan festival tersebut berkait dengan kebudayaan Jepun, namun ia tidak sesekali mengenepikan pandangan bahawa ia tetap mengandungi unsur ritual keagamaan Buddha.
Menurut beliau, prinsip itu selaras beberapa kenyataan dikeluarkan para mufti, pengkaji agama serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.
Terdahulu Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mencadangkan Idris untuk hadir ke Festival Bon Odori.
Dalam kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, baginda juga tidak mahu Menteri menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk membuat kenyataan mengelirukan dan tidak tepat.
Menurut kenyataan itu, baginda menyifatkan kenyataan tidak tepat itu boleh menjejaskan imej dan reputasi JAKIM.
Susulan itu, Sultan Selangor bertitah agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak menyekat program kebudayaan Jepun itu yang akan diadakan di Shah Alam, 16 Julai ini.
Sebelum itu, Idris dilapor menasihati umat Islam di negara ini supaya tidak menyertai Festival Bon Odori kerana ia mengandungi unsur agama lain.
Katanya, kajian JAKIM mendapati program itu mempunyai unsur keagamaan lain. – Malaysiapost