Hadi mungkin bimbang PAS hilang lebih banyak kerusi – Zahid
PRESIDEN Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Tan Sri Abdul Hadi Awang mungkin bimbang PAS akan hilang banyak kerusi jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan segera.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, PAS kini mempunyai 18 kerusi Parlimen dan Abdul Hadi mungkin khuatir parti itu kehilangan lebih banyak kerusi andai PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.
“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, beliau khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi Parlimen sedia ada,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Aspirasi UMNO (WAU) 2.0 bertajuk ‘Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda’, di Auditorium Umno, hari ini.
Semalam, Abdul Hadi menegaskan parti itu menolak gesaan agar PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat.
Kata Ahli Parlimen Marang itu, PAS bukan parti gila kuasa disebabkan menolak PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat.
“Golongan yang sering mendesak Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakub bubarkan Parlimen adalah tamak dan gila kuasa kerana mengutamakan kepentingan diri tanpa memikirkan masalah sedang dihadapi rakyat.
“PAS terbabit pada beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) disebabkan terpaksa dan bukan kerana menyokong helah parti-parti tertentu untuk berkuasa,” kata Abdul Hadi.
Katanya lagi, PAS sudah biasa kehilangan kuasa dan gagal memenangi kerusi pada beberapa siri pilihan raya lalu, sekali gus bersedia menerima hakikat jika tewas pada PRU15. – Malaysiapost