Hina Nabi SAW: Pemimpin PAS saran umat Islam boikot produk India

SEORANG pemimpin PAS mencadangkan agar umat Islam di negara ini memboikot produk keluaran negara India.

Saranan itu dikemukakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad sebagai tindak balas susulan kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.

“Sebagai langkah awal, umat Islam pertahankan Nabi SAW, boikot produk-produk dari India. Allahuakbar,” tulis bekas Ketua Penerangan PAS itu di Facebooknya.

Terdahulu, Kementerian Luar memaklumkan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.

Kenyataan itu berkata, kementerian sudah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.

Malaysia turut menyeru India bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.

Sebelum ini, Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) Ahad lalu menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights