JIKA sebelum ini isterinya hampir terkena strok sekitar Mac lalu, kini giliran penyanyi Justin Bieber mendedahkan mengalami kelumpuhan muka’ disebabkan oleh sindrom Ramsay Hunt.
Bieber, 28, yang kini dalam siri jelajah di beberapa negara terpaksa membatalkan konsert yang akan berlangsung dalam masa terdekat.
Penyanyi yang pernah popular dengan lagu ‘Baby’ itu memaklumkan keadaan kesihatannya melalui akaun Instagram, semalam.
Menurut Mayo Clinic, kehilangan pendengaran dan kelumpuhan muka yang dikaitkan dengan sindrom Ramsay Hunt berlaku buat sementara namun ia boleh menjadi kekal.
Mata kanan Bieber tidak dapat berkelip dan bahagian kanan mukanya tidak bergerak semasa dia muncul dalam video tersebut.
“Hai semua Justin (Bieber) di sini, saya ingin memaklumkan anda tentang apa yang sedang berlaku. Jelas sekali seperti yang anda boleh lihat wajah saya.
“Saya mempunyai sindrom yang dipanggil sindrom Ramsay Hunt dan ia adalah daripada virus ini yang menyerang saraf di telinga dan saraf muka sehingga menyebabkan muka saya lumpuh,” katanya.
Perkongsian Bieber itu juga membuatkan ramai peminat terutamanya di Malaysia bimbang sekiranya konsertnya di Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan akan turut terjejas.
Sebelum ini, isterinya, Hailey Balwin dilapor mengalami detik cemas apabila mengalami simptom serangan strok, Mac lalu.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika pasangan tersebut menikmati sarapan pagi. – Malaysiapost