‘Maaf saya naik angin, tinggi sikit suara pada pelanggan’

‘Maaf saya naik angin, tinggi sikit suara pada pelanggan’

PEKERJA Restoran 35 di Banda Hilir, Melaka memohon maaf kepada pelanggannya kerana gagal mengawal emosi sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Nor Abdilla Baharom, 39, yang juga anak ketiga kepada pemilik restoran asam pedas itu mengakui apa yang berlaku secara spontan dan menjadi kebiasaannya ketika menguruskan kedai milik keluarganya itu.

“Bagi pihak kedai, saya minta maaf kerana waktu itu pun saya teremosi, naik angin dan meninggikan sikit suara kepada pelanggan kerana kadang-kadang ada juga kesilapan dari pihak pelanggan.

“Tapi sejujurnya, bukanlah niat saya untuk sengaja bersikap marah-marah. Mungkin kita akan betulkan kesilapan itu di lain masa,” katanya memetik MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut Nor Abdilla berkata, dia berharap isu itu selesai dan menyerahkan sepenuhnya kepada orang ramai untuk memilih restoran asam pedas mana yang menepati citarasa mereka di Melaka.

“Mana-mana (pelanggan) yang rasa tak sesuai dengan layanan saya itu, terpulanglah pada hak pelanggan masing-masing.

“Tapi bagi pelanggan biasa yang tahu (perkhidmatan) kami, mereka tahu orang Melaka cakap memang kasar-kasar dan kuat tapi tak semua percakapan orang Melaka itu berbentuk makian,” katanya.

Sebelum ini, tular di aplikasi TikTok seorang pelanggan mendakwa menerima kata-kata kasar daripada pemilik kedai asam pedas tersebut ketika sedang menjamu selera bersama keluarga.

Malah, pemilik itu didakwa berkata ”tiada duit jangan bawa mak bapak makan” kepada pelanggan itu.

Sebelum ini dikatakan kedai ini pernah tular dengan insiden yang melibatkan seorang usahawan yang dihalau keluar oleh pemilik kedai ketika membuat live mempromosikan produknya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Malaysia Gazette

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen