MARA sedia perluas kerjasama strategik bidang pengajian baharu

MARA merancang memperluas kerjasama strategik bidang baharu bagi pengajian pelajar tajaannya ke luar negara.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, MARA menetapkan kerjasama strategik itu membabitkan universiti di luar negara yang berada di ranking terbaik dunia.

“Universiti ini adalah ranking ke-35 di seluruh dunia dan di United Kingdom ni adalah ranking yang kelima, di Eropah mereka ranking kelapan.

“Jumlah keseluruhan pelajar di universiti ini adalah 40 ribu lebih pelajar di sini dan lebih 25 peratus adalah pelajar dari luar negara termasuk dari Malaysia,” katanya kepada media sempena lawatan ke University of Manchester (UoM), United Kingdom semalam.

Dalam lawatan itu, Mahdzir mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi UoM diketuai Naib Presiden Pembelajaran, Pengajaran dan Hal Ehwal Pelajar, Profesor April McMohan.

Delegasi lawatan turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

Dalam lawatan itu, Mahdzir dan delegasi mengadakan perbincangan dan bertukar pandangan berkaitan aspek pengajian bidang baharu yang boleh diteroka oleh pelajar tajaan MARA ke UoM.

Mahdzir juga dibawa meninjau bangunan baharu Fakulti Kejuruteraan UoM yang mempunyai kelengkapan dan peralatan pengajian moden dan terkini.

MARA ketika ini jelas Mahdzir, menghantar sebahagian besar pelajar tajaannya mengikuti pengajian bidang kejuruteraan di United Kingdom dan di 21 negara lain.

“Setakat ini MARA mempunyai sejumlah 3,391 pelajar tajaannya di luar negara dengan jumlah paling ramai adalah di United Kingdom iaitu 1,422 pelajar.

“Kita dapat melihat bagaimana mereka telah memberi penerangan mengenai keupayaan pelajar kita dari segi kualiti pelajar bukan sahaja dalam pelajaran tetapi juga dalam ko-kurikulum, mereka memuji pelajar Malaysia dalam penyertaan NGO, ko-kurikulum dan pengajian akademik,” katanya.

Tambah Mahdzir, MARA membuat keputusan tepat memilih UoM sebagai destinasi pelajar tajaannya yang paling ramai di UK atas faktor ranking universiti, tenaga pengajar dan persekitaran kampus yang terbaik.

Katanya lagi, antara kemudahan terbaik UoM adalah infrastruktur pembelajarannya iaitu perpustakaan yang memiliki koleksi 4 juta buku dan manuskrip bercetak, 800,000 buku elektronik dan 500,000 jurnal elektronik. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights