JAWATANKUASA Pilihan Khas Parlimen yang baharu perlu ditubuhkan bagi melancarkan kempen anti rasuah di Malaysia.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, sidang Dewan Rakyat sesi Julai dan Ogos ini akan lebih bermakna jika jawatan kuasa berkenaan ditubuhkan yang baru.
“Sidang Parlimen Julai/Ogos 2022 boleh dikatakan sebagai sidang “Parlimen Pembaharuan” sekiranya Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dapat memainkan peranan berkesan dan bermakna dalam pembaharuan Parlimen, termasuklah dengan menubuhkan jawatankuasa yang baru untuk melancarkan kempen anti-rasuah.
“Perkara ini menjadi lebih penting dengan pendedahan baru-baru ini di mana bekas Ketua Setiausaha Negara, Mohd Sidek Hassan, menerima elaun lebih tinggi daripada gaji rasminya untuk tidak berbuat apa-apa sebagai penasihat 1MDB,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu turut menggesa Mohd Sidek meletak jawatan Pengerusi Suruhanjaya Penguatkuasaan Integriti Agensi (EAIC).
Sementara itu, Kit Siang menyambut baik langkah pemansuhan hukuman mati mandatori sebagai bukti pembaharuan dicapai kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh singkat, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pemansuhan hukuman mati mandatori dialu-alukan oleh pelbagai pihak sebagai langkah pertama ke arah yang tepat dan bukti ada pembaharuan boleh dicapai oleh kerajaan Ismail Sabri dalam tempoh singkat sebelum PRU15,” katanya. – Malaysiapost