UMNO berharap Rang Undang-Undang (RUU) Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti dapat dibentang, dibahas dan diluluskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata pelaksanaan RUU itu penting supaya mana-mana parti tidak lagi menjadi mangsa seperti selepas PRU14 lalu.
“Ini bukan soal kos, tetapi soal masa. Saya fikir yang penting adalah niat. Kalau niatnya mahu bawa undang-undang ini ke Parlimen, bila pun waktu ditentukan, ia harus dapat kelulusan Dewan Rakyat sebelum PRU15.
“Ini cukup penting sebab kita tidak mahu apa yang berlaku selepas PRU-14, berlaku lagi selepas PRU15,” katanya memetik Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Wacana Aspirasi Umno (WAU) 2.0 bertajuk Cabaran dan Masa Hadapan Orang Muda di Auditorium Umno hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dilaporkan memaklumkan RUU terbabit hanya akan dibentang dan dibahaskan pada sesi Parlimen mulai 18 Julai ini.
Pengumuman itu bagaimanapun berbeza dengan kenyataan awalnya semalam berhubung cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menimbang Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mengadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama bulan depan.
Susulan itu, rata-rata Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meminta supaya RUU terbabit segera dibentang, dibahaskan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, semua parti wajib menyokong RUU terbabit sebaik ia dibentangkan di Parlimen.
Jelasnya, semua parti sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang sudah menjadi mangsa apabila ramai Ahli Parlimen mereka bertindak lompat parti sejurus PRU-14 lalu. – Malaysiapost