TIADA sebarang laporan berhubung awam dikenakan tindakan seperti digantung, dibuang atau ditukarkan tempat kerja disebabkan menolak atau belum mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat, berkata dianggarkan hanya 1.8 peratus daripada 1.62 juta kakitangan awam di seluruh negara masih belum mengambil vaksin.
Menurutnya, jumlah 1.82 peratus terbabit adalah penjawat awam yang disahkan doktor tidak boleh mengambil vaksin disebabkan penyakit ataupun alahan.
“Mereka (penjawat awam tidak divaksin) ini mempunyai perakuan sebagaimana pekeliling perkhidmatan yang mengecualikan mereka untuk menerima vaksin kerana mempunyai penyakit, alahan dan sebagainya dengan pengesahan doktor,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Adnan berkata, setakat ini pihaknya juga tidak menerima laporan wujudnya kumpulan antivaksin dari kalangan penjawat awam.
Sebelum ini, media melaporkan tindakan tegas bakal diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang masih enggan mengambil vaksin Covid-19 tanpa sebarang alasan kesihatan, bermula 1 November 2021.
Tindakan itu dibuat selaras dengan arahan dikeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 tahun 2021 oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 18 Oktober lalu.
Pekeliling ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd. Rahman itu jelas menyatakan, penjawat awam yang tidak mematuhi arahan daripada ketua jabatan untuk mendapatkan dos vaksin Covid-19 selepas 1 November boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.
Menurut pekeliling itu lagi, langkah berkenaan diambil bertujuan memastikan persekitaran tempat kerja yang selamat dan penyampaian perkhidmatan serta produktiviti perkhidmatan awam berada pada tahap optimum.
Pekeliling tersebut turut menyatakan bahawa penjawat awam tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan selaras dengan Fasal (2) Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan dan terikat dengan Surat Aku Janji yang ditandatangani apabila dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan. – Malaysiapost