Zahid takut apa sampai desak PRU15 diadakan awal – Ahmad Fadhli
KETUA Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari dilihat bertindak balas mempertahankan ‘serangan’ yang dilakukan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap Presiden partinya Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Bagaimanapun, Ahmad Fadhli hanya membangkitkan persoalan sinis terhadap Zahid dalam satu hantaran ringkas di Facebook miliknya, hari ini.
“Datuk Seri pula apa yang dibimbangkan sehingga beria-ia mahu pru disegerakan? Sekadar bertanya sahaja,” katanya.
Maklum balas Ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun tidak dinyatakan secara jelas apa yang dimaksudkannya namun dipercayai merujuk pendakwaan kes mahkamah yang sedang dihadapi Zahid ketika ini.
Terdahulu pagi tadi, dalam satu program anjuran BN, Zahid mendakwa Abdul Hadi takut PAS kehilangan banyak kerusi sekali gus gagal mempertahankan 18 kerusi yang disandangnya jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan segera.
“Mungkin kalau pilihan raya (diadakan) cepat, beliau khuatir partinya akan hilang kurang daripada 18 kerusi Parlimen sedia ada,” kata Zahid.
Semalam, Abdul Hadi menyifatkan pihak yang mendesak PRU15 diadakan awal adalah tamak dan gila kuasa.
Malah, Abdul Hadi menegaskan parti itu menolak gesaan agar PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat bukan disebabkan bimbang tewas, sebaliknya bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan menyelesaikan pelbagai masalah rakyat. -Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Ahmad Fadhli Shaari