PENYERANG Harimau Malaya Darren Lok tidak menyimpan perasaan marah terhadap Kim Pan Gon kerana menukarkannya pada babak kedua aksi bertemu Bahrain, malam semalam.
Penyerang kelab PJ City itu berkata, dia percaya setiap jurulatih pastinya mempunyai taktikal dan visi masing-masing yang mungkin tidak dapat dilihat melalui mata kasar pemain.
“Untuk saya adalah menjadi kebiasaan pada babak kedua ada banyak pertukaran pemain. Jurulatih mahukan tenaga baharu dan fresh leg untuk mengukuhkan lagi pasukan.
“Saya tak rasa tindakan itu silap kerana kita harus percaya kepada kebolehan pemain-pemain lain,” katanya dipetik portal Flash Sukan.
Darren telah dikeluarkan Pan Gon pada minit ke-60 dan memasukkan pemain neutralisasi Guilherme De Paula ketika Malaysia mencari gol kemenangan setelah Bahrain berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-58.

Tinjauan di laman sosial hari ini, rata-rata peminat bolasepak negara menyifatkan pengendali Harimau Malaya dari Korea Selatan itu tersalah percaturan strategi dan menjadi ‘turning point’ Harimau Malaya kehilangan rentak.
Momentum rentak Harimau Malaya dilihat mengendur sebaik kemasukan De Paula yang seolah-olah bersantai dan tidak melakukan ‘pressing’ seperti yang sering dilakukan Darren.
De Paula sering tidak berada di kedudukan tepat selain gagal menyambut beberapa hantaran silang cantik daripada Ariff Aiman sekali gus menjadi punca Malaysia buntu mencari gol kedua.
Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya beraksi baik, namun gagal bangkit mencari gol penyamaan susulan ketinggalan 1-2 selepas Bahrain menyudahkan peluang sepakan penalti yang dihadiahkan Farizal Marlias sembilan minit sebelum masa sebenar tamat.
Terdahulu, Malaysia memecah kebuntuan perlawanan apabila mendahului menerusi gol Mohamadou Sumareh pada minit ke-55.
Namun Bahrain bertindak balas pantas menyamakan kedudukan 1-1 selang tiga minit kemudian akibat kelekaan benteng Harimau Malaya.
“Ya, kita bermain dengan baik namun kita tewas kerana beberapa kesilapan. Namun itu bukan penghalang untuk terus bangkit dalam perlawanan mendatang kerana semua pemain mahukan kemenangan.
“Saya akan berikan sepenuhnya ketika di atas padang dan ikut segala arahan serta taktikal jurulatih kerana kita masih berpeluang untuk layak ke Piala Asia, ” kata Darren.
Harapan Harimau Malaya untuk layak ke Piala Asia 2023 masih bernyawa, namun perlu mencapai misi wajib menang besar menentang Bangladesh, Rabu ini.
Berdasarkan format pertandingan, juara kumpulan layak secara automatik manakala lima naib juara daripada enam kumpulan akan layak ke Piala Asia 2023. -Malaysiapost