Hukuman mati tetap ada, cuma bukan lagi mandatori – PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan hukuman mati tetap ada, namun bukan lagi mandatori bagi memberi pilihan kepada hakim menggunakan budi bicara masing-masing dalam mengenakan hukuman.

Beliau berkata, perkara itu bagi memberi peluang kepada hakim untuk menggunakan budi bicaranya dalam menjatuhkan hukuman.

Katanya, ianya kerana setiap manuisa perlu diberi peluang kedua untuk hidup, maka hakim mempunyai dua pilihan sama ada menjatuhkan hukuman itu secara mandatori atau mengikut budi bicaranya.

“Kalau dia (hakim) rasakan orang itu memang penjenayah tegar, memang mengedar dadah yang menyebabkan beratus ribu orang mati, (maka) dia dibenarkan untuk menjatuhkan hukuman mati.

“Tetapi kalau dia rasa dari segi budi bicaranya dia kata nak beri hukuman (penjara) seumur hidup dengan sebat sekali, jadi dia boleh pinda hukuman mandatori itu kepada hukuman yang lebih ringan,” katanya dalam video di Facebook, hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh pihaknya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.

Beliau berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights