PARTI Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) meminta kerajaan tidak tergesa-gesa menerima saranan memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini.
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali, berkata pemansuhan hukuman mati mandatori adalah perkara serius dan ia mesti diteliti secara mendalam selain mengadakan kajian terperinci termasuk melibatkan pihak berkepentingan serta mendapat respon majoriti rakyat.
“Kerajaan perlu ambil iktibar daripada pemansuhan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang dilakukan secara tergesa-gesa bagi tujuan mendapat sokongan politik populis. Kini terdapat pihak tidak lagi mempedulikan sensitiviti keagamaan dan perkauman yang mengugat keselamatan negara.
“Mereka ambil kesempatan dengan ledakan teknoloji maklumat terutama kebebasan media sosial tanpa batas. Banyak pihak sudah menyesal apabila ISA dimansuhkan dan mereka mendesak dikembalikan ISA. Malangnya keadaan sudah terlambat.
“Pengalaman ini wajib di ambil iktibar jika kerajaan mahu mansuhkan sesuatu undang-undang seperti ISA. Keselamatan negara dan keadilan kepada mangsa kekejaman wajib juga diambil kira. Keutamaan hendaknya bukan untuk menyelamat si pembunuh yang melakukan kekejaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk budi bicara mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh pihaknya dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kelmarin.
Beliau berkata, kerajaan juga secara prinsipnya menerima dan mengambil maklum syor-syor Jawatankuasa Khas Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori yang dijelaskan melalui laporan kajian tersebut.
Sementara itu, mengulas mengenai menyerahkan kepada mahkamah membuat pilihan sama ada hukuman mati atau penjara seumur hidup, tegas Ibrahim, sudah pasti Hakim tidak mahu menjadi pembunuh.
Ibrahim berkata, Hakim pasti cenderung kepada hukuman penjara seumur.
“Hukuman mati mandatori wajib di kekalkan bagi kes jenayah kejam yang mengakibatkan kehilangan nyawa seperti di dalam pembunuhan terancang.
“Melindungi penjenayah kejam yang melibatkan kematian bermakna kerajaan lebih mementingkan nasib penjenayah kejam daripada membela mangsa kekejaman,” katanya. – Malaysiapost