Tommy Thomas pun kena lihat cermin juga – Anwar

Tommy Thomas pun kena lihat cermin juga – Anwar

BEKAS peguam negara Tan Sri Tommy Thomas ‘dinasihatkan’ agar melihat cermin sendiri sebelum menunding jari mengkritik kelemahan orang lain. 

Nasihat itu disaran Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Tommy ketika berkhidmat sebagai pendakwa raya tertinggi negara di era pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan juga ada melakukan tindakan yang kurang bijak.  

Menurutnya, beberapa tindakan Tommy yang kurang bijak itu mengundang kesedihan Anwar bagi pihak parti PKR.

“Tommy Thomas juga harus lihat cermin kerana dalam bidang masa (menjadi peguam negara) dia ada jalankan tugas dan dalam buku dia unsur-unsur perkauman tebal.

“Unsur hina keupayaan penjawat awam, termasuk (yang di) Jabatan Peguam Negara keseluruhannya. Tak boleh kata begitu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri peluncuran kombo merdeka di pentas utama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur,  pusat dagangan dunia (WTC), hari ini.

Ketua pembangkang itu berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Thomas pada 8 Jun lalu seperti dilapor China Press, mengapa beliau masih belum menjadi perdana menteri.

Mengulas lanjut, Anwar turut membidas kritikan Tommy berhubung kenyataannya terhadap bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein sebelum ini yang dikatakan menjadi punca rusuhan 13 Mei 1969.

Selain itu Anwar menyelar  tindakan Tommy mengulas mengenai kes bunuh yang masih dalam perbicaraan di mahkamah.

“Jadi, ada juga kurang kebijaksanaan yang memerlukan dia melihat ke cermin,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menjelaskan, beliau menerima kritikan Tommy yang memintanya melihat cermin berikutan kegagalannya menjadi perdana menteri.

Namun, Anwar mempersoalkan adakah sebab beliau enggan bertolak ansur dalam rasuah dan campur tangan kes mahkamah beberapa pemimpin politik dianggap kegagalannya menjadi perdana menteri.

“Saya boleh beritahu dia, saya akan jadi perdana menteri jika saya bertolak ansur kepada rasuah dan campur tangan dalam mahkamah, maka saya akan menjadi perdana menteri. Tada siapa boleh mempertikaikannya tetapi saya enggan.

“Adakah itu satu kegagalan,” soalnya. -Malaysiapost

Komen