300 Pemuda PAS Kemaman didakwa keluar parti, sertai Umno.

SERAMAI 300 Pemuda PAS Kemaman didakwa keluar parti dan menyertai Umno.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata semua mereka sudah mengisi borang keahlian dan akan diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada majlis khas di Kemaman tidak lama lagi.

Beliau berkata, selain kumpulan belia itu, beberapa orang kuat PAS dari Marang turut menyatakan sokongan kepada Umno, minggu lalu.

“Malah, kita juga berjaya menubuhkan satu cawangan Umno Padang Mengkuang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Limbat di Marang yang 80 peratus kawasan itu adalah ahli PAS.

“Ini adalah petanda baik, jadi kita perlu bekerjasama dan seia sekata untuk memastikan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Umno Terengganu bangkit dan kembali memenangi negeri ini,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga bekas Menteri Besar mendakwa pembangunan di Terengganu sudah jauh ketinggalan sepanjang di bawah pemerintahan PAS.

Katanya, kepemimpinan PAS negeri itu juga didakwa melakukan banyak penyelewengan dan salah guna kuasa secara terbuka.

“InsyaAllah selepas Syawal saya akan membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana beberapa pemimpin tertinggi Pas Terengganu dipercayai menyimpan jutaan ringgit dalam bank di Kuala Lumpur.

“Sebab itu sekali lagi saya minta kita berubah, sesiapa sahaja calon pucuk pimpinan parti, kita mahu seia sekata dan beri sokongan kepada Umno-BN,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights