KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam meningkat sebanyak 20 peratus dalam tempoh 5 Jun hingga 11 Jun lalu.
Beliau berkata, peningkatan itu bagi setiap 100,000 penduduk, dengan jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33.3 peratus manakala kategori 3, 4 dan 5 meningkat sebanyak sembilan peratus.
“Bagaimanapun, secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan sama ada hospital dan Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) awam bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10 peratus.
“Penurunan itu berlaku pada minggu epidemiologi (ME) ke-23 tahun 2022 (ME 23/2022) berbanding ME 22/2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa peratusan pengisian katil fasiliti Covid-19 turut meningkat berbanding ME-22.
“Penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 8 peratus; Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 17 peratus; dan penggunaan katil PKRC meningkat sebanyak 200 peratus,” katanya.
Beliau juga memaklumkan bahawa sehingga ME 23/2022, hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati kadar positif sampel Influenza-Like Illness (ILI) bagi Covid-19 menurun sebanyak 65.6 peratus.
“Iaitu 10.9% pada ME 22/2022 kepada 3.8% pada ME 23/2022 dan Kadar positif sampel jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) bagi Covid-19 pada ME 23/2022 meningkat sebanyak 29.1%, iaitu 6.8% pada ME 22/2022 kepada 8.8% pada ME 23/2022,” katanya. – Malaysiapost