KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) mengesahkan kedua-dua perlawanan terakhir bagi Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional di Bukit Jalil, malam esok, akan tetap berlangsung seperti dijadualkan.
Perkembangan itu disahkan Setiausaha Agung AFC Datuk Seri Windsor John yang memaklumkan, tiada perubahan venue atau tarikh dengan kedua-dua aksi antara Bahrain dan Turkmenistan serta Malaysia dan Bangladesh tetap dijalankan di Stadium Nasional.
“Tiada pertukaran venue, kedua-dua perlawanan akan bermain seperti biasa,” katanya dipetik Harian Metro.
Beliau berkata demikian apabila ditanya adakah terdapat kemungkinan berlaku pertukaran venue atau perubahan waktu perlawanan, susulan isu permukaan padang Stadium Nasional yang digenangi air akibat hujan lebat sebelum perlawanan Malaysia menentang Bahrain, Sabtu lalu.
Semalam, media tempatan melaporkan terdapat kemungkinan berlaku perubahan venue bagi kedua-dua aksi, malam esok, ekoran masalah air bertakung apabila hujan lebat di Stadium Nasional dengan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras disebut-sebut sebagai antara gelanggang alternatif. -Malaysiapost