Harimau Malaya jangan terleka, Bangladesh intai lakar kejutan

JANGAN memandang rendah keupayaan Bangladesh yang mungkin memakan diri, demikian peringatan Kim Pan Gon kepada Harimau Malaya. 

Pengendali berasal dari Korea Selatan itu tidak mahu anak buahnya mengambil mudah dalam pertemuan menentang Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023, esok, kerana dalam bolasepak tiada yang mustahil bagi pasukan ‘underdog’ melakar kejutan. 

Pan-gon menjelaskan, Bangladesh bukanlah mudah untuk dijinakkan berdasarkan kepada dua rekod pertemuan mereka bertemu Bahrain dan Turkmenistan.

Menurutnya, perkara penting ketika ini adalah melakukan persiapan rapi dan memastikan setiap pemain yang diturunkan tidak lagi mengulangi kesilapan mudah sekali gus merugikan pasukan. 

“Bangladesh adalah pasukan yang hebat sekali gus kita perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal pada perlawanan esok.

“Saya akui pemain kecewa tewas kepada Bahrain tempoh hari namun mereka sudah melupakan kisah duka dan cukup bersemangat mahu pastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia.

“Saya tidak mahu bercakap mengenai kesilapan mudah yang dilakukan pemain kerana mereka sudah memberikan terbaik pada dua perlawanan sebelum ini dan saya cukup menghargainya,” katanya pada sidang media pra perlawanan Malaysia bertemu Bahrain, di Bukit Jalil, hari ini.

Secara matematiknya, Malaysia yang menduduki tangga kedua kumpulan E 

perlu menang dengan jaringan yang besar bagi memastikan layak ke pentas Piala Asia 2023.

Ketika ini, Bahrain berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan ( 3 mata) manakala Bangladesh di tangga tercorot.

Sementara itu ketua jurulatih Bangladesh, Javier Fernandez yakin pasukannya mampu melakar kejutan memandangkan Malaysia dilihat berada dalam situasi lebih tertekan ketika ini 

Pengendali dari Sepanyol itu menyifatkan Harimau Malaya pastinya mahu meraih kemenangan di hadapan penyokong sendiri dalam usaha melayakkan tempat ke Piala Asia 2023.

Beliau bertekad anak buahnya akan melakukan kejutan pada perlawanan terakhir itu dengan memastikan Bangladesh tidak pulang dengan tangan kosong.

“Semua tekanan kepada Malaysia kerana mereka bermain di laman sendiri, berada di ranking lebih tinggi dan ini peluang untuk mereka mara ke pusingan akhir Piala Asia.

“Tapi, ini peluang terbaik untuk kami dan saya fikir kami sudah mempamerkan persembahan positif selepas dua perlawanan.

“Apabila berdepan Malaysia, saya mahu memberikan sesuatu kepada penyokong dan negara,” katanya pada sidang media pra perlawanan, hari ini. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights