BEKAS Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani mengakui syarikat itu tidak mempunyai keupayaan untuk menyediakan “hadiah” atau memberi rasuah kerana status kewangan yang tidak kukuh sejak tahun 2014.
Wan Quoris Shah mendedahkan perkara itu ketika prosiding di MahkamahTinggi Shah Shah Alam berhubung perbicaraan rasuah membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Saksi pendakwaan ke-16 itu bersetuju dengan peguam bela Hamidi Mohd Noh yang menunjukkan kepadanya akaun syarikat yang telah diaudit antara 2014 dan 2018.
Pada tahun 2014 UKSB hanya memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak lebih RM625,000.
Berdasarkan rekod revenue syarikat berkenaan adalah sebanyak RM8.4 juta namun membelanjakan 90 peratus daripadanya untuk tujuan operasi dan pengurusan syarikat.
Data juga menunjukkan bahawa UKSB hanya mempunyai tunai di bank sebanyak RM441,958 bagi tahun 2014.
Pada tahun 2015, UKSB hanya memperoleh keuntungan selepas cukai bernilai lebih RM114,000 dan hanya mempunyai tunai di bank sebanyak RM2.1 juta.
Berikutnya bagi tahun 2016 UKSB memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM4.9 juta manakala bagi tahun 2017, RM2.8 juta dengan tunai di bank sebanyak RM4.9 juta dan pada tahun 2018 syarikat berkenaan hanya mampu memperoleh keuntungan selepas cukai sebanyak RM351,000 dengan tunai sebanyak RM5.9 juta.
Justeru, Hamidi mencadangkan bahawa berdasarkan kedudukan kewangan itu UKSB tidak mampu membayar rasuah atau apa saja bayaran hadiah dan ia dipersetujui Wan Quoris.
Terdahulu, pada prosiding sesi pagi, Wan Quoris memberitahu Mahkamah syarikatnya memberi sumbangan dana politik kepada Khairy Jamaluddin selain bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, Khairy pernah menerima sumbangan dana politik antara RM5,000 hingga RM20,000.
Bagaimanapun, Wan Quoris Shah, 42, yang juga ahli Umno berkata, wang untuk tujuan bantuan politik, bencana dan aktiviti kemanusiaan itu tidak diserahkan secara terus kepada Khairy, sebaliknya diberikan menerusi Umno Bahagian Rembau. -Malaysiapost